Halatuju kita
Ke mana kita selepas ini
Organisasi/usrah/persatuan ini akan ke mana
Apa pencapaian kita nanti
Apabila kita sampai pada perkara ke empat, kita mula terbayang zaman Rasulullah. Oh, indahnya. Tapi sukar. Zaman itu zaman nabi. Mungkin zaman Khulafa' Ar-rasyidin. Ataupun zaman Umar Abdul Aziz. Setidak-tidaknya Muhammad Al-Fateh.
Alangkah indahnya jika kita mampu sampai ke situ dengan tugas kita ini.
Kalau kita mampu ke tahap itu, zaman kita pasti menjadi antara zaman yang dikenang.
Di sinilah kesilapan bermula.
RANTAI PERJUANGAN
"Dalam Surah At-Tin, mengapa Allah bersumpah?"
-"menarik perhatian."
-"tanda kekuasaan Allah."
"Ya," jawab naqibah saya. "Tapi paling penting, Allah bersumpah dengan perkara yang ada kaitan dengan nabi-nabi terdahulu. Contohnya, demi Tin dan Zaitun. Tin ditafsirkan tempat tinggal nabi Nuh yang banyak tumbuh pokok Tin. Zaitun ialah Baitulmaqdis, tempat banyaknya tumbuh pokok zaitun."
"Kenapa Allah bersumpah tntang nabi-nabi terdahulu? Sebab Allah nak kita rasa betapa kita ada kaitan dengan dakwah yang dibawa sejak nabi Adam as lagi. Betapa kita semua berada dalam satu rantai perjuangan yang panjang."
APABILA DI SINI
Apabila kita di sini, di rantai perjuangan ini, bermakna kita sedang meneruskan satu perjuangan yang tidak putus-putus sejak zaman nabi Adam as hinggalah ke zaman nabi Muhammad saw, hinggalah ke zaman kita.
Perjuangan mengeakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
Perjuangan ini bukan mudah. Ramai yang terkandas. Tapi ramai juga yang berjaya. Apa yang terbayang di fikiran kita? Zaman Rasulullah saw yang gilang-gemilang. Zaman Umar al-Khattab. Zaman Umar Abdul Aziz. Salahuddin Al-Ayyubi. Sultan Muhammad Al-Fateh.
Tiba-tiba kita disini. Ya, kita pasti mahukan kejayaan. Melihat Islam dijulang tinggi adalah perkara yang paling kita impikan.
Tetapi bukanlah perkara yang menjadi matlamat kita, untuk diri kita.
MATLAMAT PERJUANGAN
Tidak salah bermimpi.
Tapi jangan sampai ke tahap menginginkan kejayaan itu pada zaman kita.
Kejayaan itu pasti, tapi bukan matlamat kita.
Matlamat kita ialah redha Allah, di dalam rantai perjuangan ini.
Kita perlu tetapkan, matlamat kita berada di jalan ini adalah untuk mencapai redha Allah. Bukan untuk mencapai kejayaan nama Islam diangkat semata-mata.
Kerana tidak semestinya apabila Islam dijulang, redha Allah berada dalam genggaman kita.
Apabila kita meletakkan redha Allah sebagai matlamat akhir, kita tidak akan mudah putus asa dalam perjuangan ini. Kita tidak akan penat jika masih belum berjaya. Kita tidak akan mengeluh jika dikutuk dan disembur manusia. Kerana perjuangan ini panjang, lelah, perit, berperingkat dan dihiasi 1001 macam dugaan.
Bagi orang yang meletakkan kejayaan Islam sebagai matlamat akhir, dia akan berhenti sekiranya tidak mendapat kejayaan yang sekian lama diburu.
Jikalau Rasulullah pun begitu, sudah pasti dakwah baginda telah terputus pada fasa awal kenabian.
Bagi orang yang meletakkan kejayaan Islam sebagai matlamt akhir, dia akan marah sekiranya tidak dikenang.
Jikalau khalid ra pun begitu, sudah pasti berlaku pertelingkahan antara dua sahabat besar nabi Muhammad saw.
BEGITULAH KHALID RA
Kita semua tahu kisah ini.
Di kemuncak kariernya sebagai panglima perang, utusan dari Umar ra datang membawa surat perlucutan jawatan.
Apa yang dikatakan?
"Aku berjuang kerana Allah dan Rasul."
AllahuAkbar.
Boleh sahaja dia marah. Pada ketika kemenangan Islam hampir-hampir tiba, dia dilucutkan jawatan. Boleh sahaja namanya dijulang sebagai panglima tentera Islam jika dia masih kekal pada jawatan itu.
Tapi apa jawapannya? Kerana Allah dan Rasul.
Begitulah sepatutnya kita.
DI SINILAH TERLETAKNYA KERENDAHAN HATI KITA
Kita perlu sedar, Islam pernah tinggi di zaman-zaman sebelum kita. Tidak semestinya Islam itu akan tinggi di zaman kita. Islam juga pernah jatuh sejatuh-jatuhnya, tidak semestinya sejarah itu terulang lagi di zaman kita Mungkin Islam akan berjaya di zaman cucu kita, ataupun cicit kita ataupun berjuta tahun lagi yang tidak dapat kita bayangkan keadaaan zamannya.
Yang kita perlukan hanyalah usaha. SEMAKSIMUM MUNGKIN.
Kerana kita di rantai perjuangan ini, sentiasa ada jatuh bangunnya.
Oleh itu, apabila mendapat kejayaan atau nikmat, berilah pujian pada yang selayaknya.
Silap sungguh jika kita merasa bangga dengan kejayaan yang kita usahakan.
-Apa kita tidak terfikir yang kita mampu usahakan atas kehendak Allah?
-Apa kita tidak terfikir yang kita mampu usahakan atas tunjuk ajar orang-orang yang lebih dahulu di jalan ini?
"Mereka (orang-orang Arab) merasa berjasa atas keIslaman mereka. Katakanlah janganlah merasa berjasa atas keIslaman kamu, tetapi Allah lah yang berjasa ke atas kamu kerana memberikan kamu hidayah, sekiranya kamu orang-orang yang benar."
Orang-orang Arab, masuk Islam sahaja sudah merasa berjasa. Kita?
Dapat buat program sahaja sudah berjasa.
Bawa usrah sahaja sudah rasa berjasa.
Bagi idea sahaja sudah rasa berjasa.
Lempar! Lempar sahajalah amalan-amalan itu sekiranya dipalit dengan riya' dan takabur!
Bahkan Allah lah yang berjasa pada kita kerana memberikan taufiq unutk kita beramal di jalanNya.
Tak perlu bermimpi syurga jika amalan masih berbaur dosa.
Tetapi sedarlah yang Allah yang membantu kita.
Oleh itu,
Apabila berjaya, sujudlah.
Ucaplah hamdalah.
Bersyukurlah.
Kerana perjuangan ini bukan untuk kita semata.
Perjuangan ini hanyalah satu perjuangan dalam rantai perjuangan yang panjang.
Wahai daie, cukuplah merasa berjasa dengan apa yang kamu usahakan!
0 comments:
Post a Comment